MANGSA yang dipindahkan ke PPS SK Tanjong Tohor. FOTO ihsan APM


HANYA satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka di Johor, hari ini, di Sekolah Kebangsaan Tanjong Tohor, Muar, membabitkan lima keluarga dan 22 mangsa dari Kampung Sungai Pulai.

Pengarah Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor, Kolonel (PA) Mat Zin Bujang berkata, PPS berkenaan dibuka pada 11 malam tadi, selepas rumah mereka dinaiki air dan semua keperluan sudah diberikan kepada mangsa berusia dua hingga 69 tahun itu.

Menurutnya, pada 1 tengah hari tadi, PPS di Dewan Pusat Khidmat Penyayang Air Hitam, Batu Pahat yang menempatkan 37 mangsa membabitkan 11 keluarga ditutup selepas rumah mereka didapati selamat.

"PPS di Batu Pahat dibuka sejak 4 pagi, Isnin lalu, bagi menempatkan mangsa banjir dari Kampung Parit Khalil, Kampung Parit Samion dan Lorong Budin berikutan rumah mereka dinaiki air.

"Bagaimanapun, mereka dibenarkan pulang selepas siasatan mendapati keadaan selamat dan kami kini dalam proses membersihkan PPS berkenaan untuk ditutup sepenuhnya.

"Kami tetap bersedia sekiranya mereka perlu kembali berlindung di PPS berkenaan akibat banjir," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pada 9.30 pagi hari ini, PPS Sekolah Kebangsaan Nam Heng, Johor Bahru yang menempatkan lebih 10 keluarga dari Kampung Pasir, Kemas, Sungai Tiram dan Kampung Paya, Nam Heng, ditutup selepas beroperasi sejak Isnin lalu.

Katanya, semua mangsa dibenarkan pulang selepas rumah mereka didapati selamat diduduki.

"Semua kakitangan agensi berkaitan termasuk APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, RELA, Pejabat Daerah, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan penghulu bekerjasama memantau keadaan banjir dan akan memindahkan mangsa apabila keadaan memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 5:22 PM