BANJIR di Besut Januari lalu. FOTO arkib NSTP


EMPAT puluh peratus daripada jumlah keseluruhan pegawai dan anggota polis Terengganu akan ditugaskan untuk melakukan kerja menyelamat dan kawalan jika berlaku bencana banjir di negeri itu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, 1,063 pegawai dan anggota sudah bersiap siaga untuk bertugas sekiranya berlaku banjir di negeri itu.

Menurutnya, jumlah itu adalah kira-kira 40 peratus daripada 2,900 pegawai dan anggota polis yang sedang berkhidmat di Terengganu ketika ini.

"Jabatan Meteorologi sudah mengeluarkan amaran bahawa akan berlaku empat hingga lima kali hujan lebat berikutan perubahan monsun timut laut antara 13 November lalu hingga Mac tahun depan.

"Berikutan itu, kami membuat persediaan terutamanya dari segi tenaga manusia, logistik dan latihan bagi menghadapi bencana itu," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.


AIDI (tengah) ketika sidang media mengenai persiapan Polis Terengganu menghadapi banjir. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Menurutnya, 69 pasukan penyelamat yang membabitkan 55 pegawai dan 550 anggota akan terbabit untuk kerja menyelamat, memindahkan mangsa ke pusat pemindahan.

Katanya, 32 pasukan pula membabitkan 76 pegawai, 140 anggota dan 46 pegawai awam akan bertugas di bilik gerakan untuk menyelaras sumber manusia, jumlah mangsa dan pusat pemindahan.

"Kami juga menyediakan 47 bot dan 42 kenderaan untuk membawa bot ke kawasan dilanda benca itu selain sudah mengadakan lima siri latihan termasuk secara teori dan praktikal bagi memastikan kelancaran operasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 5:46 PM