Roslee menujukkan dadah yang dirampas. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Hadzlihady Hassan


PASUKAN Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas menahan tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan, kelmarin.

Dalam serbuan 3 petang di Bayan Lepas dan Ayer Itam itu, dua lelaki Indonesia ditahan dalam kereta dan seorang rakyat tempatan ditahan dalam sebuah rumah.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, hasil serbuan itu polis merampas syabu dan ekstasi bernilai RM 2.06 juta dalam kereta.

“Syabu yang dirampas itu seberat 24.7 kilogram manakala ekstasi pula sebanyak 8,400 biji dan ia adalah untuk diseludup ke Indonesia.

“Sindiket ini didapati aktif sejak dua bulan lalu dan kita turut menyita empat kenderaan yang bernilai RM 765, 000,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, semua suspek berusia 35 hingga 45 tahun itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Serbuan ini dilakukan hasil risikan STING, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri dan juga maklumat yang diterima daripada Polis Narkotik Indonesia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 5:44 PM