Roslee menunjukkan kenderaan suspek yang dirampas ketika sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Georgetown.
Hadzlihady Hassan

Georgetown: Belum puas melaram dengan kereta mewah baru tiga hari dibeli, sekumpulan lelaki yang juga dalang sindiket penyeludupan dadah antarabangsa ditahan polis dalam serbuan di Bayan Baru dan Ayer Itam, di sini, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik berkata, serbuan bermula 3 petang hingga 4 petang itu dilakukan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri dengan kerjasama Tindak Pidana Narkoba Polri Indonesia.

Beliau berkata, hasil serbuan itu, polis menahan tiga lelaki masing-masing dua warga Indonesia dan rakyat tempatan berusia 35 hingga 45 tahun.

“Pemeriksaan lanjut menemui 24.7 kilogram syabu dan 8,400 pil ekstasi dalam kereta dinaiki dua lelaki warga Indonesia itu.

“Semua dadah terbabit dianggarkan bernilai RM2.06 juta dan dipercayai untuk diseludup ke Indonesia menggunakan laluan laut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.


Syabu dan ekstasi bernilai RM2.06 juta yang dirampas.

Turut hadir, Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Atase Polis Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur Chaidir Zahari.

Roslee berkata, sindiket itu didapati aktif menyeludup dadah sejak dua bulan lalu dan mengambil bekalan daripada luar sebelum menjadikan negeri ini sebagai transit.

“Kami turut merampas dan menyita empat kenderaan iaitu Toyota Harrier, Lexus PLT, Perodua Myvi dan Mercedes Benz yang semuanya bernilai RM765,000.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebuah daripada kereta terbabit iaitu Mercedes Benz baru saja dibeli suspek,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 5:37 AM