Penahanan lima suspek dan rampasan lapan kereta di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor kelmarin. FOTO Ahmad Othman
Penahanan lima suspek dan rampasan lapan kereta di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor kelmarin. FOTO Ahmad Othman
Ahmad Othman

POLIS Daerah Kota Tinggi berjaya menumpaskan Geng Spanar Sedili selepas menahan lima suspek dan merampas lapan kereta yang dilaporkan hilang hasil serbuan di bengkel kenderaan di Kampung Singapura, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor, kelmarin.

Dalam serbuan 9 malam itu, polis berjaya merampas semua kereta terbabit yang dianggarkan bernilai RM140,000.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan geng berkenaan yang mencuri kenderaan tempatan dan lama sebelum melakukan siasatan serta risikan sejak sebulan lalu.

Beliau berkata, ketika diserbu, seorang ahli geng berkenaan meleraikan Proton Wira yang baru dilaporkan di Taman Scientex, Masai, Johor Bahru.

“Bengkel terbabit milik seorang daripada suspek dan kita berjaya merampas lapan kereta termasuk Proton Waja, Proton Wira dan Proton Satria.

Sebahagian kereta yang dirampas hasil serbuan di bengkel kenderaan. FOTO Ahmad Othman
Sebahagian kereta yang dirampas hasil serbuan di bengkel kenderaan. FOTO Ahmad Othman

“Turut dirampas, 22 peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan membuka dan mencuri kenderaan,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Kuala Sedili, Kota Tinggi, hari ini.

Beliau berkata, lima suspek lelaki yang berusia antara 22 hingga 37 tahun itu kini ditahan reman empat hari sehingga Ahad ini.

Katanya, hasil semakan, semua suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah dan curi kenderaan.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 379, 291, 411 dan 511 Kanun Keseksaan serta akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA)," katanya.

Menurut Ahsmon, polis percaya tangkapan ahli geng itu dapat menyelesaikan 14 kes curi kenderaan di Kota Tinggi dan dua kes di luar daerah.

Polis juga percaya dapat menahan saki-baki ahli geng dan mengesan kenderaan lain hasil soal siasat yang dijalankan.

“€œSaya mengucapkan terima kasih kepada orang awam dan warga Balai Polis Kuala Sedili hingga tertumpasnya kumpulan curi kenderaan ini,”€ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 1:22 PM