LORI tangki yang membawa muatan petroleum terbabas dan terbalik di Kilometer 111.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Yong Peng, Johor. FOTO Ihsan Bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


LORI tangki yang membawa muatan petroleum kira-kira 32,000 liter terbabas dan terbalik di Kilometer 111.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Yong Peng, Johor, malam tadi.

Dalam kejadian 11.50 malam itu, turut menyebabkan pemandu serta kelindan kenderaan berat berkenaan cedera dan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk menerima rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Mohd Asroy Mohd Yahaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.54 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Lori tangki itu terbabas dan terbalik di tengah jalan raya sehingga mengakibatkan tumpahan bahan petroleum kira-kira 30 meter di atas jalan raya.

"Lori berkenaan dialihkan ke tepi dan pasukan bomba membuat pemindahan bahan petroleum itu ke lori tangki lain sebelum operasi ditamatkan kira-kira 7 pagi ini," katanya.

Menurut Mohd Asroy, sebanyak enam aset bomba pelbagai jenis dan 14 anggota termasuk dari BBP Penggaram, Ayer Hitam, Kluang dan Johor Bahru membantu dalam operasi itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden KS Mender Singh berkata, siasatan awal mendapati lori tangki dipandu lelaki berusia 41 tahun itu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.

Katanya, kenderaan berat itu mengalami masalah bahagian brek tayar belakang sehingga menyebabkan ia hilang kawalan.

“Akibat kemalangan itu, berlaku kesesakan jalan raya di sepanjang lebuh raya Yong Peng Selatan.

“Kes disiasat mengikut Rule 10 LN166/59,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 9:20 PM