SHAMSUL Anuar (kanan) dan Mohd Sharkar menyampaikan bantuan kepada Yah di Kampung Bolok Hilir.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Pekan: Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di dua kawasan di Pahang, kelmarin mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat.

Program anjuran Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BIKUM) itu bertujuan mendekati dan meringankan beban rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan.

Di Pekan, lebih 2,000 penduduk memenuhi pekarangan Masjid Kampung Tanjung Medang Hilir seawal jam 8 pagi untuk menyaksikan majlis pelancaran program yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Selain penyerahan pelbagai sumbangan dan bantuan pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i), Najib turut meluangkan masa melawat dua keluarga yang menerima bantuan pemeriksaan pendawaian elektrik dan dekorasi rumah.

Turut disediakan, klinik pemeriksaan kesihatan dan gigi percuma, pameran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta perkhidmatan servis motosikal oleh GiatMARA.

Suri rumah, Norlida Bakri, 45, berkata, dia tidak melepaskan peluang berkunjung ke program itu untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan gigi percuma.

Katanya, kos untuk mendapatkan pemeriksaan serta rawatan gigi di klinik swasta di bandar sememangnya mahal dan tidak semua penduduk kampung sepertinya mampu membiayainya.

“Program seperti ini memberi peluang kepada rakyat khususnya yang berada di luar bandar untuk melakukan pemeriksaan secara percuma serta mendapatkan nasihat kesihatan yang diperlukan.

“Ia jelas memudahkan kami kerana tidak perlu ke bandar untuk mendapatkan pemeriksaan,” katanya.

Di Temerloh, ibu tunggal, Juli Suriana Kasim, 36, dari Kampung Bolok Hulu, Lanchang, gembira kerana rumah peninggalan arwah ibunya kini lebih ceria dengan sumbangan hiasan dekorasi rumah daripada Pergerakan Puteri UMNO.

Juli berkata, pendapatan sebagai pengawal keselamatan tidaklah seberapa dan mereka sekeluarga tidak dapat menghiasi rumah dengan sempurna.

“Saya tidak sangka dipilih menerima bantuan ini. Alhamdulillah, dengan sumbangan langsir, tikar getah serta beberapa hiasan lain yang diterima, rumah kami semakin ceria,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi BIKUM Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua UMNO Bahagian Temerloh Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, kelmarin.

Sementara itu, Shamsul Anuar dan Mohd Sharkar turut menziarahi pesakit angin ahmar, Yah Mohamad,
70, di Kampung Bolok Hilir, Lanchang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 4:24 AM