Mangsa maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


PEKERJA ladang sawit maut apabila motosikal ditunggang merempuh sebuah jengkaut yang sedang menyelenggara jalan di Kilometer 3 Jalan Linggi-Rantau berhampiran Klinik Kesihatan Linggi, Port Dickson, pagi ini.

Mangsa, R Rajoo, 61, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad berkata, dalam kejadian 9 pagi itu, mangsa menunggang Honda Future dari arah Rantau menghala ke Linggi.

"Mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh belakang jengkaut yang sedang melakukan kerja menyelenggara jalan.

"Mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan disahkan meninggal dunia. Mayat dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat," katanya hari ini.

Menurutnya, siasatan di lokasi mendapati pihak penyelenggara jalan sudah meletakkan kon keselamatan dan ada pekerja menjaga laluan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 4:01 PM