Nur Saliawati Salberi


PESAWAH direman tujuh hari bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) membabitkan nilai kira-kira RM2.54 juta, sejak awal tahun lalu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Hurman Hussain, hari ini.

Terdahulu, tertuduh berusia 46 tahun itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pada 10.45 pagi dengan berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek direman bermula hari ini sehingga 28 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Dia kemudian dilihat keluar dari kamar mahkamah kira-kira 15 minit kemudian sebelum meninggalkan perkarangan kompleks mahkamah.

Suspek ditahan di Pejabat SPRM Melaka, selepas hadir untuk memberi keterangan pada 8.30 malam tadi.

Difahamkan, SPRM turut menyita sebuah Audi A4 dipercayai dibeli menggunakan wang hasil jualan baja.

Sumber berkata, suspek dipercayai bersubahat bersama pengurus projek dengan mengusahakan projek penanaman padi seluar 22.2 hektar yang dipajak di Merlimau.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan Melaka berusia 38 tahun direman selama enam hari.

Suspek dikatakan terbabit membuat 23 tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM2.45 juta membabitkan 56,700 kampit baja sepanjang tahun lalu yang tidak pernah diluluskan oleh Mesyuarat Penapis PPK.

Berita berkaitan

Reman siasat 23 tuntutan palsu [METROTV]

Disyaki buat tuntutan palsu RM2.54 juta

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 12:16 PM
Pegawai SPRM membawa suspek ke Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. FOTO Muhammad Rasul Azli Samad