MHD Amin (dua dari kanan) memegang buku Bajet DBKL 2018, semalam.
Siti Salmiah A Hamid

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak bercadang menaikkan kadar cukai taksiran ke atas pegangan harta di Kuala Lumpur yang diumumkan menerusi Bajet DBKL 2018 bertemakan Kemajuan dan Kesejahteraan Untuk Warga Kota.

Ia merujuk kepada Anggaran Hasil 2018 yang meningkat sebanyak 7.7 peratus daripada RM2.47 bilion pada 2017 kepada RM2.66 bilion.

Selain itu, DBKL turut mengekalkan insentif kepada pembayar cukai taksiran golongan orang kurang upaya (OKU) sebanyak 20 peratus seperti dilaksanakan tahun ini.

Datuk Bandar Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, sebanyak RM2.91 bilion diperuntukkan untuk mentadbir urus dan mensejahterakan kira-kira 1.86 juta warga kota.

“Daripada peruntukan itu, RM1.76 bilion atau 60.6 peratus diagihkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.15 bilion atau 39.4 peratus untuk pembangunan,” katanya di Menara DBKL 1 di sini, semalam.

Beliau berkata, Bajet DBKL 2018 memperlihatkan peningkatan perbelanjaan mengurus sebanyak 1.8 peratus atau RM31.1 juta berbanding RM1.73 bilion pada 2017.

“Perbelanjaan itu, antaranya digunakan untuk menguruskan 3,000 tan metrik sisa domestik sehari berjumlah RM263.2 juta dan sebahagian besar bayaran kontrak pembersihan bandar sebanyak RM155 juta.

“Selain itu, RM147.9 juta bagi membaiki dan menyelenggara lebih 74,000 unit rumah di 32 kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan 31 Perumahan Awam (PA) membabitkan, antaranya kerja awam, elektrik dan mekanikal selain bayaran kontrak yang ditanggung DBKL,” katanya.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL Datuk Mohd Najib Mohd; Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL Datuk Mahadi Ngah; Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL Datuk Ibrahim Yusoff dan Pengarah Eksekutif Pengurusan DBKL Mohd Mustafa Mohd.

Menurutnya, peruntukan pembangunan pula meningkat sebanyak 0.26 peratus atau RM3.02 juta berbanding RM1.14 bilion pada 2017.

Ia antaranya membabitkan RM100.4 juta untuk pembinaan parkir bertingkat di 14 lokasi PPR dan PA manakala sebanyak RM102.7 juta digunakan untuk pembinaan Perumahan Awam Council Home.

“DBKL dijangka menerima hasil cukai taksiran berjumlah RM1.11 bilion yang menyumbang 41.4 peratus daripada hasil keseluruhan DBKL meliputi bangunan pejabat, rumah kediaman, hotel dan premis perniagaan sebanyak 568,178 akaun direkodkan.

“Hasil kedua terbesar adalah pulangan keuntungan pelupusan aset sebanyak RM632.8 juta atau 23.7 peratus diikuti hasil bayaran kawalan binaan dan perancangan berjumlah RM350 juta (13.1 peratus),” katanya.

Pada masa sama, DBKL turut memperkenalkan Garis Panduan dan Kertas Dasar Jabatan Kawalan Bangunan (JKB) baru membabitkan tiga perkara iaitu permohonan kelulusan sijil tanah untuk patuhi dalam proses pengeluaran kebenaran mendirikan bangunan, mengemukakan pelan bangunan bagi pengubahsuaian dalaman dan membina sekatan dalaman serta pemeriksaan bangunan berkala bagi bangunan melebihi lima tingkat berusia lebih 10 tahun.

Garis panduan itu akan berkuat kuasa 1 Januari 2018.

Pengarah JKB DBKL Sr Alias Marjoh berkata, sekurang-kurangnya 10,000 bangunan lima tingkat ke atas berusia lebih 10 tahun perlu diperiksa secara berkala oleh jurutera profesional.

Beliau berkata, sebanyak 2,000 surat notis diberikan kepada pemilik bangunan, namun hanya 500 pemilik sudah menerima sijil penyempurnaan pemeriksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 7:17 AM