Kelibat suspek mencuri wang tabung Masjid Syed Alwi, Batu Anam, Segamat yang dirakam CCTV. FOTO ihsan polis
Kelibat suspek mencuri wang tabung Masjid Syed Alwi, Batu Anam, Segamat yang dirakam CCTV. FOTO ihsan polis
Ahmad Ismail


POLIS Segamat sedang memburu seorang lelaki selepas perbuatan dia mencuri wang tabung Masjid Syed Alwi di Batu Anam, semalam, dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Raub Selamat berkata, kelibat suspek dirakam CCTV yang dipasang di premis berdekatan masjid berkenaan.

Katanya, berdasarkan rakaman CCTV, kelibat suspek berusia lingkungan 30-an yang menunggang motosikal itu dirakam memasuki masjid berkenaan kira-kira 3 pagi.

"Beberapa jemaah menyedari wang dalam dua tabung masjid berkenaan dicuri ketika tiba untuk menunaikan solat Subuh kira-kira 5 pagi.

"Susulan laporan polis yang dibuat jawatankuasa masjid berkenaan pada hari sama, kita melakukan siasatan dan meneliti rakaman CCTV di premis berdekatan.

"Usaha sedang dijalankan bagi menjejaki suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi talian 07-9324222.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Syed Alwi, Kassim Suang berkata, pencuri mensasarkan tabung yang sepatutnya digunakan untuk membayar bil utiliti masjid serta diagihkan kepada anak yatim.

Katanya, pencuri dipercayai menggunakan gam tikus yang diletakkan pada hujung batang lidi atau besi berdasarkan kesan bahan itu di lubang tabung berkenaan.

"Kerugian dianggarkan RM600 dan ini adalah kejadian kedua selepas tahun lalu yang menyaksikan suspek ditangkap tiga hari kemudian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 7:35 PM