X
RUSYDEE menyampaikan sijil nikah kepada pasangan Orang Asli. Gambar kecil, Pegawai Agama Islam Jajahan Kecil Lojing, Ahmad Khairul Anuar Mohamad Hanif menikahkan pasangan Orang Asli pada Program Nikah Perdana Masyarakat Orang Asli Negeri Kelantan.
RUSYDEE menyampaikan sijil nikah kepada pasangan Orang Asli. Gambar kecil, Pegawai Agama Islam Jajahan Kecil Lojing, Ahmad Khairul Anuar Mohamad Hanif menikahkan pasangan Orang Asli pada Program Nikah Perdana Masyarakat Orang Asli Negeri Kelantan.
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Seramai 44 pasangan Orang Asli, di sini sudah hidup bertahun-tahun lamanya sebagai suami isteri namun kelmarin, mereka dinikahkan semula mengikut rukun perkahwinan Islam.

Istiadat pernikahan semula itu dianjurkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menerusi Program Nikah Perdana Masyarakat Orang Asli Kelantan di Masjid Al-Hidayah Pos Hendrop di sini.

Mereka dinikahkan jurunikah MAIK, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Antara pasangan itu adalah Itam Alang, 78, dan isterinya Aluij @ Saodah Along, 68, yang mempunyai lima anak dan empat cucu.

Menurut Itam, dia dan isteri sudah memeluk Islam sejak lima tahun lalu, namun tidak terfikir untuk melangsungkan pernikahan semula mengikut syariat Islam sehinggalah penganjuran program berkenaan.

“Mendalami Islam banyak mengubah kehidupan kami sekeluarga dan kami dapat menyesuaikan diri dengan apa yang dituntut dan dilarang agama syumul ini.

“Saya tidak rasa pelik apabila dinikahkan semula kerana ini sudah kewajipan dan mengharapkan kehidupan lebih bahagia. Kami ada sijil nikah seperti pasangan lain,” katanya.

Program Nikah Perdana Masyarakat Orang Asli Kelantan itu dirasmikan Setiausaha MAIK, Rusydee Abdullah.

Sementara itu, Rusydee berkata, pihaknya menganjurkan program itu hampir setiap tahun sebagai antara galakan kepada Orang Asli mendalami ajaran Islam.

Bagaimanapun, katanya, tahun ini MAIK menerima penyertaan pasangan yang lebih ramai termasuk datang dari Pos Sungai Rual, Jeli.

“Kami mengharapkan pasangan dinikahkan semula ini akan dapat membina keluarga lebih bahagia di sisi Islam dan mengikut syariat ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 7:26 AM