Tajuddin (kanan) melihat cendawan yang dipamerkan di gerai pameran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di Stadium Mini Pendang, hari ini. FOTO Amran Hamid
Nur Syazwana Mansor
am@harianmetro.com


JUMLAH kerugian dialami petani berikutan bencana banjir yang melanda Pulau Pinang dan Kedah, baru-baru ini, dianggarkan RM27.7 juta.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, jumlah kerugian bagi kedua-dua negeri terbabit adalah sebanyak RM21,277,125 bagi Pulau Pinang manakala Kedah, RM6,415,148.

Menurutnya, seramai 2,613 petani di Kedah dengan keluasan tanah 4,041 hektar bagi tanaman padi serta sayur-sayuran terjejas dalam bencana terbabit.

"Di Pulau Pinang pula, seramai 5,278 petani mengalami kerugian dengan membabitkan keluasan tanah 11,463.8 hektar bagi tanaman padi, buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Kerajaan tidak pernah mengabaikan mangsa banjir ini kerana bancian dan penilaian kerugian mangsa juga akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga selesai," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pesta Pendang dan Mini Karnival Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kedah di Stadium Mini Pendang, hari ini.

Tajuddin berkata, kementeriannya sudah meluluskan peruntukan lebih RM10 juta sebagai bantuan awal kepada penternak, petani dan peladang di Pulau Pinang yang terjejas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya akan terus meningkatkan pembangunan infrastruktur kawasan jelapang padi di Kedah terutama di lebih 100,000 hektar kawasan padi seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda.

Katanya, dalam Rancangan Malaysia ke-10, kerajaan meluluskan projek naik taraf dan membangunkan tali air di negeri ini secara besar-besaran dengan sejumlah RM2.7 bilion diluluskan untuk projek itu.

"Setakat ini kita sudah membelanjakan RM250 juta untuk kerja-kerja awal seperti pengambilan tanah dan RM50 juta pula untuk pembinaan tali air.

"Kita menyasarkan purata hasil seekar (0.4 hektar) tanaman padi ditingkatkan dari lima metrik tan seekar kepada lapan hingga 10 metrik tan seekar supaya pendapatan petani boleh digandakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 4:03 PM