ANGGOTA SPRM mengiringi suspek keempat kes penyelewengan baja  ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, semalam.
ANGGOTA SPRM mengiringi suspek keempat kes penyelewengan baja ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, semalam.
Nur Saliawati Salberi


Melaka: Suspek keempat dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penyelewengan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBKP) bernilai kira-kira RM2.54 juta direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama enam hari bermula semalam.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 50 tahun itu dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009 kerana disyaki bersubahat dengan suspek pertama menjual dan menggunakan baja bagi kepentingan sendiri.

Suspek yang diiringi pegawai SPRM tiba di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, jam 10.40 pagi semalam sebelum dibawa beredar kira-kira 15 minit kemudian.

Terdahulu, suspek keempat itu yang juga peniaga dan pekebun Skim Tanaman Dusun Buah-buahan ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Melaka, jam 6.30 petang kelmarin.

Menurut sumber, SPRM dijangka melakukan tangkapan terhadap beberapa lagi individu yang disyaki mempunyai kaitan atau terbabit secara langsung dalam penyelewengan SBKP yang sedang disiasat.

Harian Metro Rabu lalu melaporkan suspek pertama iaitu Pengurus Projek di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) negeri Melaka direman enam hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan SBKP bernilai kira-kira RM2.54 juta.

Pada keesokan hari, seorang lagi suspek yang juga pesawah berusia 46 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Selain itu, SPRM turut merampas sebuah Audi A4 kerana disyaki dibeli lelaki itu menggunakan wang hasil penjualan baja diseleweng.

Suspek ketiga, seorang pesawah yang juga peniaga berusia 52 tahun direman kelmarin hingga 28 November. Semua empat suspek kes penyelewengan SBKP itu ditahan selepas tampil memberikan keterangan di Pejabat SPRM negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 8:59 AM