NORIAH (kiri) bersama Baharuddin Hussin (kanan) di Pusat Latihan Dakwah Orang Asli Islamic Outreach ABIM, selepas kediaman mereka dinaiki air. FOTO Mohamad Zulhairie Manzaidi
NORIAH (kiri) bersama Baharuddin Hussin (kanan) di Pusat Latihan Dakwah Orang Asli Islamic Outreach ABIM, selepas kediaman mereka dinaiki air. FOTO Mohamad Zulhairie Manzaidi
Mohamad Zulhairie Manzaidi


KAWASAN rumah di Kampung Lubuk Besar, Kok Lanas, Kota Bharu yang mudah dinaiki air apabila hujan lebat menyebabkan Noriah Mamat, 55, berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) tiga kali, tahun ini.

Ia termasuk perpindahan terbaru tengah hari tadi di Pusat Latihan & Dakwah Orang Asli Islamic Outreach ABIM Kelantan, Kok Lanas.

Sebelum ini, dia berpindah dua kali ke PPS sama dan PPS yang dibuka di Politeknik Kok Lanas pada Januari lalu.

Menurutnya, rumahnya dinaiki air kira-kira setengah meter di dapur dan halaman rumah.

"Hujan lebat semalam dan tidak berhenti menyebabkan air naik dengan cepat. Malam tadi saya memang tidak boleh tidur kerana menyimpan barang penting dan bersedia untuk berpindah.

“Saya hanya tunggu arahan pihak berkuasa sahaja sehinggalah pada 12 tengah hari tadi, kami dinasihatkan berpindah kerana keadaan berisiko,” katanya ketika ditemui di PPS itu, hari ini.

Dia yang tinggal bersama suami, Baharuddin Hussin, 58, dan anak lelaki berusia 22 tahun tidak mengalami masalah kerana sudah biasa menghadapi banjir.

"Berdasarkan pengalaman lalu, memang saya sudah bersedia awal, dan hanya menunggu arahan untuk berpindah," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Jajahan Kota Bharu, Ahmad Robert Abd Rahim berkata, PPS itu mula dibuka sejak 10 pagi selepas perkampungan itu dan sekitarnya dinaiki air sehingga 0.5 meter.

Beliau berkata, kawasan itu mula dinaiki air sejak 2 pagi, namun penduduk mula berpindah pada 12 tengah hari.

"Setakat ini, pusat ini menghimpunkan 50 mangsa membabitkan sembilan keluarga.

“Kita juga memantau kawasan lain seperti Kampung Tiong, Rupek dan Pasir Tumbuh yang sudah diminta bersedia serta perlu berpindah sekiranya hujan masih berterusan,” katanya.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 7:26 PM
Digital NSTP Subscribe