SHAIK Abdul Rasheed (tiga dari kiri) pada majlis penutup Karnival Kewangan Sarawak 2017, semalam.
HM Digital

Kuching: Karnival Kewangan Sarawak 2017 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) yang berakhir semalam, di sini, mencatatkan 400 permohonan pembiayaan bernilai RM20 juta.

Timbalan Gabenor BNM, Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, jumlah itu membabitkan pembiayaan pelaburan, pinjaman perniagaan dan pembelian perumahan.

“Acara tiga hari ini menyaksikan 1,500 akaun simpanan dibuka dan 300 langganan insurans bernilai RM45,000 termasuk 20 peratus polisi Perlindungan Tenang yang dibeli pengunjung termasuk syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya pada majlis penutup Karnival Kewangan Sarawak 2017, di sini, semalam.

Beliau berkata, acara julung kali diadakan di Sarawak itu menerima sambutan menggalakkan dengan menarik lebih 20,000 pengunjung termasuk 5,400 pelajar sekolah dari pelbagai kawasan di Sarawak.

“Karnival Kewangan Sarawak 2017 ini bukan saja menarik kunjungan dalam kalangan warga Kuching, malah dari kawasan yang agak jauh seperti di Marudi, Miri dan Sibu,” katanya.

Abdul Rasheed berkata, karnival itu acara bersepadu yang dianjurkan bertujuan meningkatkan kesedaran kewangan dalam kalangan masyarakat bermula kanak-kanak hingga dewasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 5:39 AM