KEADAAN Pekan masih lagi terkawal walaupun paras air di Sungai Golok mencapai paras bahaya berikutan hujan yang turun sejak Jumaat lalu. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali


JUMLAH mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 915 mangsa pada 6 petang berbanding 663 orang pada 1 tengah hari tadi.

Ia membabitkan 243 keluarga yang ditempatkan di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah.

Satu PPS dibuka petang ini di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkal Meleret, Kampung Tandak Machang dengan jumlah 12 mangsa daripada dua keluarga.

Portal eBanjir.Kelantan merekodkan, jumlah mangsa tertinggi di Kota Bharu 468 orang daripada 116 keluarga; kedua di Pasir Puteh 244 mangsa (76 keluarga) dan Tanah Merah (111 mangsa daripada 28 keluarga.

Pasir Mas seramai 65 mangsa daripada 17 keluarga, Machang (12 mangsa, dua keluarga), Bachok (sembilan mangsa daripada dua keluarga) dan Kuala Krai (enam mangsa, dua keluarga).

Sementara itu, paras air Sungai Golok yang melebihi paras bahaya terus meningkat kepada 9.54 meter daripada 9.31 meter.

Tiga sungai utama lain berada di paras berjaga-jaga iaitu Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Sungai Golok di Jenob.

Tujuh jalan masih ditutup masing-masing empat di Machang, dua di Pasir Mas dan satu di Tanah Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 9:10 PM