MOHAMED Buang yang maut dalam kemalangan. FOTO ihsan Polis
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


ANGGOTA Unit Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2, Tampoi maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan di Jalan Anggerik, Taman Johor, Tampoi.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan maut Sarjan Mohamed Buang, 55, petang tadi.

"Mangsa bertugas di PPM Wilayah Dua Tampoi dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSA untuk bedah siasat," katanya dihubungi.

Kematian Allahyarham turut dikongsikan menerusi laman Facebook (FB) Polis Johor.

"Dimaklumkan bahawa Sarjan Mohamed Buang yang bertugas di Unit PPM Wilayah 2 kembali ke rahmatullah 4.15 petang ini akibat kemalangan jalan raya.

"Warga PDRM Kontinjen Johor mengucapkan takziah kepada keluarga arwah dan mendoakan agar rohnya dirahmati dan ditempatkan bersama-sama golongan yang beriman."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 12:27 AM