Tran didenda RM500,000 dan enam bulan penjara selepas mengaku salah memberi rasuah kepada Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, AAPM Kemaman di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. Gambar Syafiq Ambak.
Zatul Iffah Zolkiply


TAUKE bot warga Vietnam dijatuhi hukuman denda RM500,000 dan enam bulan penjara di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, atas tuduhan memberi suapan RM100,000 kepada Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Tertuduh, Tran Van Sang, 48, turut berdepan hukuman penjara dua tahun lagi sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz selepas tertuduh mengaku salah ketika pertuduhan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, Tran didakwa bersama-sama dua lagi tertuduh memberi rasuah RM100,000 kepada seorang ejen kerajaan Malaysia iaitu Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman Leftenan Komander Maritim Muhmmad Rezal Kamal Bashah.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya untuk melepaskan dua bot nelayan Vietnam (KG 90143TS dan PAF4940) yang ditahan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985.

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Kampung Meraga Beris, Kemaman, jam 12.50 tengah hari pada 5 November lalu.

Bagaimanapun, dua lagi tertuduh, Abd Rauf Mohamad, 36, serta isterinya yang juga warga Vietnam, Sa Ly Hah, 29, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah pasangan suami isteri direkodkan, mahkamah menetapkan 19 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Mahkamah menawarkan jaminan RM50,000 setiap seorang dengan syarat perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap awal bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nur Nabila Kamarudin manakala semua tertuduh diwakili peguam, Rozilawati Mat Hassan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang jurubahasa sambilan bersama suami dan tauke bot direman kerana memberi suapan kepada pegawai APMM.

Jurubahasa wanita yang dibantu suaminya yang juga pekerja pelantar minyak dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam proses rundingan antara tauke bot Vietnam dengan pegawai APMM.

Berita berkaitan

'Tauke Vietnam akui rasuah bos APMM'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 3:19 PM