Loo (atas kiri), Wan Mohd Yom (atas kanan), Muzaidi (bawah kiri) dan Mohd Budiman (bawah kanan) didakwa membuat tuntutan palsu bayaran balik GST di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini, hari ini. FOTO Muhammad Apendy Issahak.
Muhammad Apendy Issahak


SEORANG lelaki didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini, hari ini dengan 10 pertuduhan membuat tuntutan palsu bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berjumlah lebih RM200,000 pada Februari 2016.

Pada 30 Ogos dan 13 September lalu, tertuduh, Loo Peng Wah, 50, didakwa dengan 12 pertuduhan sama membabitkan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM1.1 juta.

Loo hari ini didakwa bersama tiga lagi lelaki membabitkan 10 pertuduhan kesemuanya dan keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan.

Tertuduh bersama Mohd Budiman Mohd Amran, 42, (empat pertuduhan), Wan Mohd Yom Azlan Noran, 40, (enam pertuduhan) dan Muzaidi Ibrahim, 36, (enam pertuduhan) didakwa melakukan kesalahan itu di Stesen Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Seri Manjung dan Taiping bagi tempoh tuntutan cukai 1 hingga 29 Februari 2016.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 89 (1)(b) Akta GST 2014, sabit kesalahan boleh didenda maksimum 20 kali ganda daripada amaun cukai atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Pertuduhan dijalankan Pegawai Pendakwa JKDM S Thanganatchya di depan Hakim Murtazadi Amran dengan Loo diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala tiga lagi tertuduh diwakili Chiang Mei Wan.

Pihak pendakwaan meminta mahkamah mengenakan jaminan RM50,000 terhadap setiap tertuduh bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasport semua tertuduh diserah kepada mahkamah serta syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di mana-mana pejabat kastam terdekat.

Pihak pembelaan bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan jaminan minimum atas alasan faktor umur, perlu menanggung isteri dan anak serta tiada pekerjaan.

Murtazadi kemudian memutuskan tertuduh dikenakan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan membabitkan jumlah keseluruhan RM300,000.

Tiga lagi tertuduh pula dikenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan iaitu RM80,000 untuk Mohd Budiman dan masing-masing RM120,000 bagi Wan Mohd Yom dan Muzaidi.

Keempat-empat tertuduh juga diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah serta perlu melapor diri ke pejabat kastam berhampiran sebulan sekali.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 3:08 PM