Tengku Adnan dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menunjukkan mesin pengimbas RFID yang akan digunakan pada PAU 2017. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohd Nasif Badruddin


PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur pada 5 hingga 9 Disember ini akan memfokuskan kepada mentaliti memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, semangat kemenangan akan ditanam dalam setiap perwakilan dan 3.6 juta ahli parti.

"Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul PAU 2017 akan bertemu semua pembahas negeri supaya memberi tumpuan kepada mentaliti memenangi PRU-14.

"Saya yakin ucapan Presiden (Datuk Seri Najib Razak) ke arah itu juga (memenangi PRU-14) dan pembahas perlu bijak serta matang membahasnya," katanya dalam Sidang Media Khas PAU 2017 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata, seramai 5,739 perwakilan UMNO menghadiri perhimpunan lima hari itu dan turut disertai dengan 63 perwakilan daripada 17 parti politik luar negara serta 51 perwakilan Kelab UMNO Luar Negara.

Menurutnya, perhimpunan akan bermula pada 5 Disember ini dengan Taklimat Presiden secara tertutup di Dewan Merdeka.

Katanya, ia diikuti perasmian perhimpunan sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid pada sebelah malam.

"Pada pagi 7 Disember diadakan acara menaikkan bendera parti, Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka PWTC sebagai simbolik bermulanya perhimpunan," katanya.

Tengku Adnan berkata, PAU kali ini turut memperkenalkan beberapa pembaharuan antaranya penggunaan kad pengenalan identiti frekuensi radio (RFID) bagi melancarkan akses keluar masuk perwakilan ke lokasi perhimpunan.

Katanya, perhimpunan kali ini juga akan mengurangkan penggunaan kertas sebanyak 70 peratus seperti disarankan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Menurutnya, Laman Media untuk kemudahan 1,795 pengamal media dari dalam dan luar negara turut dipindahkan dari tingkat satu sebelum ini ke Dewan Tun Razak 4 di tingkat empat bersebelahan Dewan Merdeka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 10:26 PM