PELBAGAI peralatan dirampas daripada suspek. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


LELAKI warga asing berusia 30 tahun yang menyamar sebagai polis ditahan di kawasan perindustrian di Batu 3, Sandakan, semalam.

Dalam kejadian 3.50 pagi itu, lelaki terbabit ditahan oleh sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

Ketika ditahan, lelaki itu memakai pakaian seragam tertera logo Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, sebelum kejadian, anggota polis terserempak dengan kereta dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota polis kemudian mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan, lalu melakukan pemeriksaan.

"Sebaik diperiksa, suspek didapati memakai baju dan seluar berwarna biru gelap, tali pinggang dan kasut hitam seperti anggota keselamatan.

“Pemeriksaan di dalam beg pada pinggang suspek menemukan kad yang diubah suai dan tertera logo PDRM.

“Selain itu, pelbagai peralatan lain seperti jaket pantul cahaya tertera logo PDRM pula ditemui dalam kereta digunakan suspek," katanya, hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Bandar Sandakan untuk tindakan lanjut.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, lelaki terbabit dikatakan menyamar sebagai polis bagi melakukan peras ugut.

“Suspek mensasarkan warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri atau mempunyai dokumen perjalanan yang sudah tamat tempoh.” katanya.

Mohd Azhar berkata, semakan terhadap identiti suspek mendapati lelaki itu memiliki rekod lampau berkaitan kesalahan penggunaan dadah.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah.

"Lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 4:32 PM