KEADAAN banjir termenung di kawasan bendang Kampung Pulau Ular, Simpangan, Tumpat berdekatan Jalan Kasban selepas air Sungai Golok mula melimpahi tebing sejak Selasa lalu. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali


MANGSA banjir di Kelantan terus meningkat kepada 13,666 orang 9 malam ini berbanding 13,111 mangsa 6 petang tadi.

Jumlah itu membabitkan 5,379 keluarga yang ditempatkan di 61 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah.

Berdasarkan portal ebanjir Kelantan, daerah Pasir Mas masih lagi mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi seramai 10,433 orang daripada 4,327 keluarga di 41 PPS.

Mangsa banjir di Tumpat meningkat kepada 1,862 orang berbanding petang tadi 1,473 orang, Pasir Puteh (821), Kota Bharu (433) dan Tanah Merah (117).

Paras air Sungai Golok masih melepasi paras bahaya 10.35 meter (m). Manakala, enam sungai utama yang lain berada di paras normal.

Sementara itu, 21 jalan masih ditutup kepada kenderaan iaitu 14 di Pasir Mas, empat di Tumpat, dua di Gua Musang dan satu di Kota Bharu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 10:19 PM