KADAR PSC destinasi antarabangsa selain ASEAN di klia2 ditetapkan RM73 mulai 1 Januari 2018.
HM Digital

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengumumkan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) sama rata yang akan dilaksanakan di semua lapangan terbang di Malaysia bermula 1 Januari 2018.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Abdullah Ahmad berkata, kadar PSC untuk destinasi antarabangsa selain ASEAN di klia2 akan ditetapkan pada RM73 bermula daripada tarikh terbabit di mana ia adalah kadar yang disamaratakan berbanding semua lapangan terbang lain di Malaysia.

Menurutnya, tiada perubahan terhadap semua kadar PSC bagi lapangan terbang lain di Malaysia di mana kadar yang dipinda itu akan dikenakan hanya kepada tiket yang dikeluarkan pada dan selepas tarikh terbabit.

“Tiket yang dikeluarkan sebelum tarikh ini tidak akan dikenakan kadar baharu terbabit walaupun tarikh penerbangan dijadualkan pada atau selepas 1 Januari 2018,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Susulan pengumuman yang dibuat oleh Suruhanjaya pada Oktober 2016 berkaitan pindaan kepada PSC hanya kadar PSC di klia2 bagi destinasi antarabangsa selain ASEAN lebih rendah dari kadar PSC di semua lapangan terbang lain di Malaysia.

Kadar PSC di klia2 untuk destinasi terbabit ditetapkan pada kadar sebanyak RM50 manakala kadar untuk lapangan terbang lain di Malaysia ditetapkan pada kadar RM73.

Beliau berkata, pengumuman terbabit melengkapkan proses penyamarataan PSC yang dijalankan secara berperingkat di klia2 dengan lapangan terbang Malaysia yang lain.

Kadar baru itu adalah berdasarkan hasil penilaian terhadap semakan yang dibuat oleh pihak suruhanjaya pada awal tahun 2017 susulan daripada pengumuman yang dibuat oleh suruhanjaya pada Oktober 2016 dengan hasil penilaian juga mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada penggiat industri.

“Selepas pindaan terkini ini, kami mendapati bahawa kadar PSC di Malaysia masih kekal antara yang paling rendah di peringkat global dan rantau ini.

“Kami menjangkakan langkah penyamarataan PSC ini membolehkan peruntukan subsidi itu digunakan bagi tujuan penting lain dan ia juga bakal memajukan Malaysia di persada penerbangan antarabangsa serta mengukuhkan lagi sektor penerbangan Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 6:44 AM