TAJUL menunjukkan kotak sarang lebah tumpang di Masjid Tanah.
Shaiffulazhar Misri

Alor Gajah: Kaedah menternak lebah secara tumpang di ladang buah-buahan mampu meningkatkan lagi jumlah pengeluaran madu dan hasil tanaman dengan serangga itu membantu proses pendebungaan.

Penternak lebah di Masjid Tanah, di sini, Tajul Hasiqin, 49, berkata, dia mengamalkan kaedah itu selepas menjalankan kajian secara praktikal selama enam tahun yang terbukti membantu meningkatkan pengeluaran madu dan buah-buahan.

Katanya, kebiasaannya lebah terbang dalam radius tiga kilometer dari sarang tumpang iaitu satu jarak cukup jauh untuk membantu proses pendebungaan antara pokok di dalam sebuah ladang.

“Ada yang risau mengenai keselamatan jika tumpangkan lebah dalam ladang, namun bagi saya, serangga itu tidak menjadi agresif kecuali diganggu. Menggunakan cara itu kita juga boleh kembalikan keseimbangan alam.

“Kalau kaedah ini diamalkan di lebih banyak kebun atau ladang seluruh negara, saya yakin negara kita akan mewah dengan madu dan tidak mengalami masalah kekurangan bekalan walaupun permintaan meningkat.

“Sebahagian madu di pasaran sekarang diimport dari luar negara. Pengeluaran madu asli tempatan sekarang pula hanya mampu tampung permintaan pasaran setempat dan kurang dikomersialkan kerana kekurangan bekalan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Tajul berkata, dengan bantuan lebah, proses pendebungaan dan pengumpulan nektar menjadi semakin kerap yang boleh membantu meningkatkan pengumpulan hasil sehingga tiga kali ganda daripada biasa.

Dia berkata, ladang yang mengamalkan keadah itu di Melaka adalah di Bukit Katil, Masjid Tanah manakala di Perak pula di Sungai Siput, Tambun serta Batu Gajah.

“Kita mendapat maklum balas positif daripada pekebun atau pemilik ladang yang mengamalkan kaedah ini, malah mereka setuju untuk kekalkan sarang tumpang terbabit.

“Saya sedia bekerjasama dengan mana-mana pekebun berminat, kami akan kenal pasti lokasi sesuai untuk tempatkan sarang tumpang ini, kelilingnya akan dipagar jika pemilik tanah risau dengan keselamatan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 8:14 AM