FOTO hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


POLIS berjaya menyelesaikan dua kes pecah rumah di Setiu membabitkan kerugian RM22,000 dalam tempoh kurang 24 jam susulan penahanan seorang lelaki di tepi Jalan Banggol, Kuala Terengganu, semalam.

Suspek berusia 25 tahun dan bekerja sebagai buruh ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, kira-kira jam 5.30 petang hasil maklumat orang ramai dan intipan dilakukan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, dalam kejadian pertama, suspek memecah masuk sebuah rumah di Kampung Rhu Tapai, Bandar Permaisuri, Setiu, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Beliau berkata, kejadian disedari mangsa, seorang wanita berusia 64 tahun yang kebetulan baru pulang ke rumahnya sebelum ternampak seorang lelaki terjun dari tingkap rumahnya.

“Suspek terus melarikan diri ke kawasan semak di belakang rumah mangsa sebelum pemeriksaan mendapati pelbagai barangan berharga seperti satu gelang tangan emas dengan 10 batu permata, empat gelang tangan emas, dua subang emas, satu cincin emas, dua telefon bimbit dan beg duit lesap dilarikan pencuri membabitkan kerugian RM20,000.

“Dalam kejadian kedua, seorang operator kilang terkejut apabila menemui beg tangan miliknya di pintu dapur sebelum pemeriksaan lanjut mendapati pintu dapur rumahnya terbuka, kira-kira jam 5.15 pagi semalam.

“Mangsa yang baru bangun tidur mendapati telefon bimbit serta beg tangannya diletakkan dalam bilik hilang sebelum wanita berusia 31 tahun itu menemui beg tangannya dalam keadaan terbuka di pintu dapur.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek melarikan dua telefon bimbit, wang tunai RM350 dan tiga cincin emas dengan anggaran kerugian RM2,000,” katanya pada sidang media di IPK Terengganu.

Menurutnya, kedua-dua mangsa membuat laporan di Balai Polis Penarik sebelum polis berjaya menahan suspek bersama pelbagai barangan dicuri dari dua rumah berkenaan.

Katanya, suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 411, Kanun Keseksaan kerana menyimpan harta curi dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek yang turut positif methamphetamine kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 5:44 PM