DR Shamsul (dua dari kanan) membuat tinjauan di Pasar Awam Lenggong sempena Program Kepenggunaan KPDNKK Perak.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Lenggong: Seramai 487,091 peminjam yang disenaraihitam oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sudah memulakan bayaran balik pinjaman secara konsisten mengikut kemampuan masing-masing membabitkan nilai kutipan sebanyak RM1.54 billion.

Pengerusinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, peningkatan jumlah peminjam membayar semula pinjaman kepada PTPTN disebabkan dasar PTPTN yang fleksibel bagi memberi peluang kepada peminjam menjelaskan tunggakan pinjaman bagi mengelakkan mereka disenarai hitam untuk keluar negara.

Katanya, peminjam terbabit adalah peminjam yang datang berunding dengan PTPTN bagi membuat pembayaran selepas disenaraihitam manakala selebihnya adalah sebagaimana yang disenaraihitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia baru-baru ini membabitkan seramai 447,890 peminjam yang tidak pernah membayar langsung pinjaman.

“Langkah menyenarai hitam keluar negara bukanlah perkara baharu kerana ia berkuatkuasa sejak 2008 dan kita anggap langkah ini antara yang terakhir untuk berlembut dengan peminjam tertunggak.

“Sebelum ini, sudah banyak langkah yang lebih mesra diambil termasuk menubuhkan cawangan PTPTN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selain diskaun bagi kaedah pembayaran tertentu, bagaimanapun semuanya dilihat gagal menarik minat peminjam untuk menjelaskan pembayaran atau tunggakan.

“Jadi, kita anggap langkah menyekat peminjam yang sudah disenarai hitam untuk keluar negara oleh Jabatan Imigresen adalah sesuatu yang wajar memandangkan kita melihat rata-rata orang yang keluar negara khususnya untuk melancong adalah mereka yang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kepenggunaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin.

Shamsul Anuar mengulas laporan berkenaan 447,890 peminjam PTPTN yang disenarai hitam daripada keluar negara sebagaimana statistik yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 10:20 AM