GAMBAR hiasan
Mohd Sabran Md Sani


WANITA bersama pasangan lelakinya ditahan, semalam bagi membantu siasatan berkaitan penemuan mayat bayi ditanam di kawasan kebun di Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata ia berikutan laporan diterima daripada pihak Hospital Kota Tinggi, semalam mengenai keadaan wanita berusia 23 tahun itu yang menerima rawatan selepas mengalami pendarahan akibat melahirkan bayi.

"PDRM mengesahkan menerima laporan daripada HKT mengenai satu wanita tempatan dirawat di wad kecemasan kerana pendarahan melahirkan bayi.

"Siasatan awal mendapati bayi yang dilahirkan ditanam di satu kawasan kebun di Kota Tinggi," katanya.

Berikutan itu katanya pihak polis sudah membuka siasatan secara menyeluruh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Ahsmon berkata, perempuan dan pasangan lelaki tempatan berusia 21 tahun itu direman sehingga 11 Disember ini bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 1:24 PM