Faridah tiba di HKL hari ini. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


KETUA Pergerakan Wanita UMNO Balik Pulau, Pulau Pinang, Faridah Arsyad yang koma selama seminggu ketika bercuti di Vietnam pada 29 November lalu selamat dibawa pulang menerusi pesawat Vietnam Airlines petang tadi dan kini ditempatkan di Bahagian Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan serta pemantauan lanjut.

Usaha membawa pulang Faridah dilakukan Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) dengan kerjasama UMNO Pulau Pinang selepas mendapat maklumat daripada UMNO Balik Pulau.

Pengerusi BiKUM Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, menerusi maklumat itu, BiKUM menghantar dua pegawai perubatan iaitu Dr Erhan Ab Rahman dan Dr Masliha serta seorang kaunselor, Mohd Mustaqim Fahzin bagi menguruskan urusan membawa pulang Faridah.

“Kita mendapat maklumat bahawa ketika dimasukkan ke Hospital Cho Ray, Ho Chi Minh, Vietnam, Faridah mengalami masalah paru-paru berair akibat jangkitan kuman selain penyakit lain berpunca daripada kencing manis, darah tinggi serta masalah buah pinggang.

“Jadi, sebaik beliau sudah sedarkan diri daripada koma dan kesihatannya semakin stabil pada 5 Disember lalu, kita mengambil keputusan menghantar dua pegawai perubatan serta kaunselor untuk memantau serta mengurus perjalanan pulang beliau.

"Alhamdulillah, menerusi penerbangan Vietnam Airlines yang selamat mendarat 6.50 petang tadi, kita terus membawa beliau ke HKL untuk rawatan lanjut," katanya ketika melawat Faridah yang tiba di HKL kira-kira 9 malam tadi.

Menurutnya, urusan membawa pulang Faridah dilakukan bagi memudahkan rawatan susulan penyakitnya dilakukan selain kos perubatan di Vietnam yang dijangka cukup tinggi jika terus mendapat rawatan di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 10:09 PM