Mohd Ramadhan sebelum ini pernah mengalami kerugian hampir RM40,000.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Jerantut: Walaupun banjir melanda di beberapa negeri pantai timur termasuk daerah Raub dilaporkan sudah reda, kebanyakan pengusaha ikan sangkar masih belum menarik nafas lega.

Sebaliknya, mereka masih meneruskan persiapan bagi menghadapi gelombang kedua musim tengkujuh.

Pengusaha ikan sangkar dari Jerantut Feri, Mohd Ramadhan Isharum, 29 berkata, antara langkah berjaga-jaga yang diambilnya bagi menghadapi musim itu termasuk menyediakan tali secukupnya untuk mengikat sangkar selain meluangkan masa lebih kerap di sangkar.

“Tali itu digunakan untuk mengikat sangkar bagi mengurangkan risiko ia dihanyutkan banjir.

“Saya juga selalu mendapatkan maklumat berkaitan ramalan cuaca memandangkan cuaca kini tidak menentu,” katanya ketika ditemui, semalam.


MOHD Ramadhan mengikat sangkarnya sebagai langkah persediaan menghadapi banjir di Kampung Jerantut Feri.

Mohd Ramadhan berkata, sebelum ini dia pernah mengalami kerugian hampir RM40,000 akibat banjir besar yang melanda daerah ini.

“Kerugian itu disebabkan banyak ikan yang dibela seperti patin, tilapia, keli dan baung mati akibat banjir.

“Sangkar pula tidak boleh digunakan kerana rosak teruk seperti besi sangkar patah manakala jaring sangkar pecah,” katanya yang memiliki 20 sangkar ikan.

Menurutnya, dia tidak akan melupakan pengalamannya menjaga sangkar ikan setiap kali banjir melanda.

“Ia berisiko dan ibarat menggadai nyawa tetapi sebagai pengusaha sangkar ikan, saya tidak dapat lari daripada memikirkannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 10:59 AM