RICHARD (kanan) beramah mesra bersama graduan PROTON.
Norhadiani Baharom

Subang Jaya: Tidak seperti kebanyakan acara konvokesyen, senario majlis graduasi anjuran PROTON cukup unik kerana rata-rata 100 graduan yang menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) berusia antara 40 hingga ke 50 tahun ke atas.

Semua mereka adalah kakitangan PROTON dari seluruh negara yang berjaya menamatkan kursus SKM Tahap 3 dengan cemerlang dan diraikan di dalam sebuah majlis konvokesyen berlangsung di Pusat Kecemerlangan PROTON, Subang Jaya, kelmarin.

Majlis penyampaian sijil disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot.

Seorang penerima sijil, Mohd Nasirin Mohd Majmudin, 48, berkata, memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia bererti peluang untuk mencuba pekerjaan baru di dalam industri automotif lebih meluas. Nasirin mula bekerja dengan syarikat itu sejak 30 tahun lalu.

“Sebelum memperoleh sijil SKM, saya pernah menerima sijil program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM). Dengan ketiga-tiga sijil yang saya ada ini, bermakna saya boleh menjadi tenaga pengajar di institut kerajaan dalam bidang yang berkaitan.

“Dengan adanya SKM bererti seseorang itu layak untuk bekerja dalam industri automatif. Malah mereka yang memiliki SKM juga berpeluang cerah untuk bekerja dengan syarikat automotif di Australia dan Eropah,” katanya menerima sijil untuk kursus Penyeliaan Pengurusan Pejabat.

Penerima lain, Zaid Mohd Ismail, 33, yang mengikuti kursus Penyelia Pemasangan Badan Automobil, berpendapat, program SKM bukan saja mengiktirafnya sebagai pekerja yang mahir, malah membentuknya sebagai kakitangan yang lebih efisien.

“Saya mula bekerja dengan PROTON pada 2008. Namun sejak mengikuti program SKM, saya melihat diri saya bukan sekadar pekerja yang menjalani rutin harian, masuk kerja pagi dan pulang lewat petang.

“Program ini mengubah persepsi saya terhadap pekerjaan dan menjadikan saya seorang pekerja yang tahu kelebihan dan kemahiran yang saya ada selain menjadikan saya seorang yang lebih efisien. Memandangkan untuk memperoleh sijil ini, pekerja perlu melepasi beberapa kriteria sebelum layak diiktiraf pekerja mahir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 2:09 AM