C Ganesan maut dihempap pokok getah yang tumbang di Jalan Gapam- Bemban, Melaka Tengah, hari ini. FOTO Nur Saliawati Salberi
Nur Saliawati Salberi


PENUNGGANG motosikal maut selepas dihempap pokok getah yang tumbang di Jalan Gapam- Bemban, Melaka Tengah hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, mangsa C Ganesan, 40, maut di lokasi kejadian akibat parah dikepala.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Bukit Rambai, ke rumahnya di Bemban, Jasin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

"Mangsa yang berada di bawah timbunan dahan dan ranting pokok dibawa keluar dengan bantuan pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka, untuk proses bedah siasat selain kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 5:30 PM