Siraj Mohd Zaini


SEORANG parah manakala dua lagi peserta larian Klang City International Marathon cedera selepas dilanggar Proton Iswara dari arah belakang di Jalan Kapar Batu 2, Klang, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, perlumbaan bermula dari Stadium Pandamaran, Klang dan mangsa yang terbabit adalah Evelyn Ang Gek Suan, 44, Amiruddin Hamid, 37, serta Ahmad Hadafi Jus, 42.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila lelaki berusia 28 tahun yang memandu Proton Iswara itu merempuh bahagian belakang peserta larian ketika melalui jalan berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan.

"Evelyn Ang parah di bahagian kepala dan rahang, Amiruddin cedera di kepala dan Ahmad Hadafi mengalami kecederaan di kaki.

"Tempat kejadian di Jalan Kapar Batu 2 dari arah Klang menuju ke Kapar, manakala keadaan cuaca terang berlampu dan kemalangan berlaku pada awal pagi," katanya kepada Harian Metro.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 11:36 AM