Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof (enam dari kanan) bersama EXCO Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor Datuk Hasni Mohammad (lima dari kiri) pada majlis perasmian Fasa Pertama Jalan Baru FT092 ke PULAREK, Pengerang. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Kerja Raya mengumumkan kelulusan projek menaik taraf Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) dengan penambahan dua lagi lorong bagi keselesaan pengguna.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerja naik taraf itu membabitkan pembinaan laluan dua lorong kepada empat lorong dua hala sejauh 26 kilometer.

“Kita sudah mendapat kelulusan secara prinsip untuk menaik taraf SDE yang mana dua lorong akan menjadi empat lorong dua hala.

“Projek naik taraf ini akan ditenderkan tahun depan dan dengan itu, keseluruhan jalan di Pengerang, Johor, dari segi jaringan jalan rayanya akan dapat disiapkan,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Fasa Pertama Jalan Baru FT092 ke Pusat Latihan Rekrut (PULAREK), Pengerang, Kota Tinggi, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor Datuk Hasni Mohamad.

Fadillah berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan kos kerja naik taraf berkenaan sehingga proses kaji selidik dan reka bentuk dimuktamadkan.

“Kita tunggu kertas cadangan terkini dan reka bentuknya masih belum dimuktamadkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, jalan baru dari FT092 ke PULAREK sepanjang 14 kilometer adalah satu daripada empat fasa pembinaan jalan dalam Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Katanya, tiga lagi fasa masih dalam proses pembinaan yang mana keseluruhannya dijangka siap sepenuhnya pada 2019.

Pada ucapannya, Fadillah berkata, keseluruhan empat jajaran jalan baru dalam PIPC itu menelan kos RM1.86 bilion di mana ia memberi manfaat kepada semua rakyat terutamanya penduduk dan pemain industri di Pengerang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 2:27 PM