Sheikh Saidey Nor diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan selepas mengaku tidak bersalah atas 26 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan transaksi melebihi RM1 juta. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


PENGASAS sebuah skim pelaburan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini, atas 26 pertuduhan membabitkan jumlah transaksi lebih RM1 juta pada 2015 hingga 2016.

Tertuduh, Sheikh Saidey Nor Sheikh Abdul Rahman, 44, dari Kampung Sungai Soi, Kuantan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan penyalahgunaan akaun bank semasa untuk aktiviti pengubahan wang, menggunakan wang itu untuk membeli lot rumah dan memiliki wang diperoleh daripada aktiviti gubah wang.

Semua kesalahan itu dilakukan 27 November 2015 hingga 30 Jun 2016 menerusi pelbagai akaun bank.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Idamasliza Maarof dan tertuduh diwakili peguam, S M Karunanathan.

Bagaimanapun, Idamasliza memohon untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen Jenayah di Kuala Lumpur memandangkan tertuduh turut dituduh di mahkamah itu atas kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Idamasliza memaklumkan bahawa tertuduh diberi jaminan sebanyak RM10,000 untuk kes berkenaan yang bakal disebut semula pada 11 Januari depan.

Hakim Siti Aminah bersetuju untuk memindahkan kes berkenaan dan menggunapakai jaminan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 12:44 PM