TIMBALAN Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Suriyani Zakaria bersama barisan penaja melepaskan spesies patin untuk kaki pancing esok.
HM Digital

Kuala Lumpur: Pertandingan memancing Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) siri keenam yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM28,400 akan diadakan di Taman Tasik Ampang Hilir, esok.

Selepas sembilan lokasi siri jelajah diadakan, sirkit terakhir ini menawarkan dua motosikal, dua televisyen 32 inci dan satu bot getah sebagai hadiah cabutan bertuah oleh penganjur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Zaharudin Basiron berkata, pihaknya berbangga hasrat DBKL menganjurkan pertandingan memancing ini berjaya dan berharap ia dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Pertandingan memancing ini bertujuan memperkenalkan taman tasik rekreasi untuk dimanfaatkan oleh warga kota dengan aktiviti sihat,” katanya pada majlis melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di Taman Tasik Ampang Hilir di sini, semalam.

Katanya, juara pertandingan itu akan membawa pulang wang tunai RM14,000, naib juara RM4,000 manakala tempat ketiga RM1,000.

Pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia pertandingan di Tasik Ampang Hilir dari 12 tengah hari hingga 10 malam ini dan hari pertandingan sebelum jam 6.30 pagi.

Oishi, Igloo dan TaCkles turut memeriahkan acara ini sebagai rakan strategik bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 8:08 AM