LELAKI OKU dibawa ke lokasi kejadian bersama penterjemah pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
LELAKI OKU dibawa ke lokasi kejadian bersama penterjemah pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Fuad Hadinata Yaacob


LELAKI OKU yang dipercayai terbabit dalam kes empat sekeluarga maut dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Kuala Langat Rabu lalu dibawa ke lokasi kejadian itu hari ini.

Lelaki berusia 38 tahun yang cacat pendengaran dan pertuturan itu dibawa sepasukan polis ke rumah terbabit kira-kira jam 11 pagi.

Lelaki yang berpakaian lokap polis itu dibawa dalam keadaan tangan bergari, memakai topi dan penutup muka.

Turut serta dalam siasatan itu adalah seorang penterjemah wanita yang menjadi perantara antara lelaki itu dan pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pasukan penyiasat melakukan siasatan di lokasi bersama suspek hampir dua jam.

Beliau berkata, suspek yang dibawa ke lokasi adalah sebahagian daripada siasatan dan mereka turut dibantu penterjemah sepanjang proses berkenaan.

Bagaimanapun beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai hasil siasatan berkenaan.

Sementara itu difahamkan mayat keempat-empat mangsa sudah dituntut ahli keluarganya jam 1.30 tengah hari tadi dan dijangka disemadikan Selasa ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi Rabu lalu, Lim Mai Shak, 68, Chia Tee Nang, 73, dan dua cucu mereka, Chia Yuan Bin dan Ryan Chia Zeng Xi masing-masing berusia tiga dan 10 tahun maut dalam kebakaran.

Seorang cucu mangsa berusia 12 tahun yang juga abang kepada Ryan Chia terselamat kerana menyorok di dalam bilik air sebelum meloloskan diri ke luar rumah.

Berikutan kejadian itu polis menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan lelaki itu di sebuah rumah kedai di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur jam 1 pagi semalam.

Masalah hutang dipercayai menjadi punca lelaki itu bertindak khianat terhadap keluarga terbabit.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor semalam dilaporkan berkata, siasatan mendapati lelaki berkenaan adalah teman lelaki anak bongsu mangsa berusia 30 tahun yang juga OKU cacat pendengaran dan pertuturan.

Beliau berkata, suspek yang bekerja di sebuah kilang perabot di Kepong tidak mempunyai rekod jenayah dan bertindak sendirian dalam melakukan jenayah itu.

Menurutnya, suspek direman tujuh hari mulai semalam hingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Suspek bunuh dan bakar ditahan

Dua budak lelaki antara 4 terbunuh

Mangsa dibunuh sebelum rumah dibakar

Masih menunggu laporan bedah siasat'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 9:11 PM
Digital NSTP Subscribe