Antara PATI yang ditahan di Kampung Tersang Jeram Perdah, Pasir Mas, semalam. FOTO Ihsan Jabatan Imigresen Malaysia.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


DUA lelaki tempatan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas cuba membawa masuk 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dalam serbuan di Kampung Tersang Jeram Perdah, Pasir Mas, semalam.

Mereka ditahan pada 4.45 pagi selepas masuk menerusi pangkalan haram di Rantau Panjang.

Pengarah JIM Kelantan Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, dua lelaki tempatan yang ditahan dipercayai tekong berusia 40 dan 23 tahun.

Katanya, PATI yang ditahan berusia antara tiga hingga 49 tahun yang baru dibawa masuk ke negara ini menerusi Tersang.

"Pasukan kita bersama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) membuat serbuan selepas melakukan intipan dan maklumat awam.

"Sepasukan pegawai dan anggota membuat kepungan di kawasan berkenaan dan mendapati dua lelaki tempatan sedang membawa masuk PATI ke dalam dua kenderaan.

"Hasil pemeriksaan menemui empat PATI dalam dua kenderaan itu, masing-masing tiga orang dalam Proton Perdana dan seorang dalam Honda Stream serta 13 yang lain bersembunyi di lokasi berdekatan termasuk kanak-kanak tiga tahun.

"Seorang lelaki tempatan cuba melarikan diri ke dalam semak sebelum berjaya ditahan," katanya hari ini.

Menurutnya, semua PATI baru masuk dan dipercayai untuk dihantar ke sekitar Lembah Klang.

Katanya, pihaknya merampas dua kenderaan terbabit yang bernilai lebih RM100,000 untuk siasatan lanjut.

"Dua lelaki tempatan ditahan mengikut Seksyen 26(J) ATIPSOM 2007 manakala PATI warga Myanmar disiasat mengikut Akta Imigresen 1959," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 11:29 AM