Pelatih memakai pakaian istiadat pada Perbarisan Tahunan Putera MTD 2017 di Padang Kawad Kem Sungai Besi, hari ini. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


SERAMAI 498 pelatih Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi, Kuala Lumpur mencipta sejarah apabila buat julung kalinya memakai pakaian istiadat pada Perbarisan Tahunan Putera MTD 2017 di Padang Kawad Kem Sungai Besi, hari ini.

Ini kerana, sejak penubuhan MTD pada 3 Julai 1952, mereka menjadi pelatih pertama memakai pakaian istiadat atau 'Parade Jacket' pada perbarisan tahunan.

Pakaian istiadat perbarisan Putera MTD adalah hasil cetusan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada tahun lalu.

Majlis perbarisan tahunan terbabit diadakan sebagai tanda penghormatan serta mengiktiraf kejayaan pelatih menamatkan tempoh pengajian selama dua tahun dan pada kali ini, ia disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum.

Pada majlis perbarisan itu, seramai 231 pelatih tingkatan lima dan 267 pelatih tingkatan empat memakai pakaian istiadat.

Selain perbarisan, majlis sama turut menyaksikan empat pelatih menerima hadiah hasil kejayaan dalam kategori Padang Kawad yang dipertandingkan dengan Ilman Hakim Azan wakil dari Kompeni Charlie menerima Hadiah Menteri Pertahanan, Muhamad Alifzal Ismawi (Hadiah Komandan), Muhammad Amirul Shafiq Suwito (Hadiah Pengarah Pengajian) dan David Lee Teck Wei menerima Hadiah Lembaga Tadbir.

Selain itu, sembilan pelatih turut dipilih sebagai pemenang Kategori Wisma Putera serta Kompeni Terbaik Tahun 2017 menjadi milik Kompeni Golf.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 1:52 PM