Abdullah (kiri) bersama pegawainya melihat motosikal dan rangka motosikal yang dirampas dalam Ops Lejang Khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Muhamaad Razis Ismail

POLIS melumpuhkan Geng Khairy Bechah Palas yang aktif melakukan jenayah curi motosikal di sekitar Bunut Susu, Pasir Mas dengan penahanan enam individu, 4 Disember lalu.

Dalam Ops Lejang Khas bermula pada 11 malam, enam suspek berusia 17 hingga 20 tahun ditahan di lokasi berasingan, selain pihak polis turut merampas empat motosikal dan tiga rangka motosikal selepas menerima maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, dalam operasi itu pihak polis menahan enam anggota sindiket itu termasuk seorang remaja berusia 17 tahun yang baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia( SPM).

"Hasil soal siasat, kita merampas empat motosikal iaitu dua Honda EX-5, masing-masing sebuah Yamaha Lagenda dan Honda C70 di sebuah rumah di Bunut Susu. Tiga rangka motosikal Honda EX-5 turut ditemui di dalam tali air di Kampung Parit, Air Kochang, Bunut Susu.

"Dengan penahanan suspek, kita berjaya melumpuhkan kumpulan ini dan menyelesaikan beberapa kes curi motosikal di Bunut Susu," katanya dalam sidang media di IPD Pasir Mas, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit aktif melakukan kegiatan jenayah curi motosikal sejak sebulan.

"Modus operandi yang digunakan adalah dengan mensasarkan motosikal di halaman rumah selain kecuaian pemilik motosikal yang tidak mengunci kenderaan.

"Mereka akan menjual terus sebuah motosikal atau meleraikannya untuk mendapatkan komponen tertentu termasuk enjin yang dijual serendah RM300 ," katanya.

Katanya, pihaknya memburu lima lagi anggota kumpulan itu termasuk ketuanya dikenali sebagai Khairy, 20, dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 11:05 AM