TIGA suspek belasah pemandu ambulans dibawa ke Mahkamah Majistret Taiping untuk permohonan reman.
Muhammad Apendy Issahak


Taiping: “Harap mereka insaf dan lebih hormat pada orang tua lepas ini,” kata pemandu ambulans yang dibelasah sekumpulan mat rempit berhampiran Plaza Tol Taiping Utara, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) awal pagi Ahad lalu.

Mangsa berusia 53 tahun itu berharap kumpulan remaja berkenaan tidak mengulangi perbuatan tidak berfaedah terutama berlumba haram yang kesudahannya bukan saja menyusahkan diri sendiri, tetapi orang lain termasuk ibu bapa.

“Tidak sangka mereka tergamak memukul saya yang boleh dikatakan sebaya ibu bapa mereka hanya kerana ditegur.

“Bila jadi perkara sebegini bukan diri mereka saja yang susah, tetapi ibu bapa dan ahli keluarga juga susah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, dia bersama dua rakan lain iaitu pembantu perubatan dan jururawat wanita yang ada ketika kejadian dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, semalam untuk memberi keterangan dan membuat pengecaman tiga individu yang ditahan susulan kes itu.

“Kami bertiga hadir ke IPD jam 1.30 tengah hari tadi untuk memberi keterangan yang mengambil masa empat jam dan saya juga diminta membuat pengecaman,” katanya.

Menurutnya, dia difahamkan setakat ini tiga individu ditahan dan direman dan polis mengesan tiga lagi individu termasuk seorang yang dipercayai menumbuk saya hingga luka di kening kanan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, tiga suspek berusia 17 hingga 25 tahun itu ditahan tengah malam kelmarin selepas menyerah diri.

“Tiga individu berkenaan menyerah diri di IPD Taiping selepas dibawa bapa seorang daripada suspek jam 9.30 malam sebelum mereka ditahan dan dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini untuk permohonan reman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 6:40 AM