Mohamad mengulas kes pendakwaan Cikgu Azizan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Negeri, Seremban. FOTO Hazreen Mohamad
Mohd Amin Jalil


“SAYA harap kedua-dua pihak bermaaf-maafan dan menyelesaikan dengan cara yang baik serta harmoni. Ini kerana kedua-duanya ada fungsi tersendiri di mana guru mendidik murid manakala ibu bapa mengharapkan yang terbaik untuk anak mereka,” kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan mengulas mengenai kes guru Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak Nilai, Azizan Manap yang dibebaskan dan dilepaskan di Mahkamah Majistret Seremban, semalam.

Beliau yang kesal dengan kejadian itu berharap kes itu menjadi tauladan kepada semua pihak kerana hasrat guru hanyalah hendak mendidik anak bangsa.

Justeru katanya, dalam melaksanakan tanggungjawab itu, janganlah ada pihak yang terluka.

"Jangan pula ada hati yang terluka sama ada guru, murid dan ibu bapa. Perkara ini perlu difahami secara bersama semua pihak dan perlu ada semangat persefahaman yang jitu dan pengorbanan, kesabaran.

"Persefahaman antara pihak sekolah dan masyarakat penting kerana tiada isu yang tak boleh diselesaikan.

Mohamad berkata, pihaknya tidak dimaklumkan lebih awal mengenai isu membabitkan guru berkenaan dan ibu bapa terbabit sekali gus tidak berpeluang untuk membantu lebih awal menyelesaikannya.

"Jika saya tahu kes ini, saya sendiri akan membantu dan menjadi pihak yang menyelesaikan permasalahan itu dan ada kemungkinan ia tidak sampai kepada mahkamah," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, hari ini.

Beliau juga yakin jika Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dapat memainkan peranan sebagai orang tengah atau jambatan bagi menyelesaikan setiap isu, ada kemungkinan ia dapat diselesaikan lebih awal tanpa membawanya ke mahkamah.

Menurutnya, semua pihak menyedari bahawa bukan niat guru untuk melakukan sesuatu terhadap murid atau menyeksa murid tetapi lebih kepada mendidik.

"Bagaimanapun tindakan guru juga perlu ada batasannya dan jika ia dapat dikawal di peringkat awal antara kedua-dua pihak pastinya dapat diselesaikan dengan cara baik.

"Selalu saya katakan bahawa pihak sekolah jangan simpan kes-kes seperti ini kerana ia boleh memberi kesan tidak baik.

"Dalam hal ini, saya tak boleh kata guru itu yang betul atau ibu bapa yang salah, tapi saya rasa ada perkara yang tak difahami secara bersama dan dengan persefahaman yang baik hingga akhirnya ada pihak yang tidak puas hati dan

dalam masa sama tiada pula pihak yang mengambil tanggungjawab untuk membantu," katanya.

Mengulas lanjut cadangan NUTP mewujudkan etika ibu bapa, Mohamad berkata, ia mungkin tidak berkesan jika golongan sasaran tidak mematuhinya.

"Sesuatu etika ini ibarat seperti lampu isyarat dan apabila ia merah pengguna perlu berhenti, tapi ada juga yang melanggarnya,' katanya.

Berita berkaitan

Tunggu punya tunggu, tapi tak muncul?

'Salah faham je...'

'Kami sekeluarga tertekan'

[UPDATE] 'Saya doakan moga dia berjaya'

Alhamdulillah, kemenangan untuk Cikgu Azizan

Hak individu untuk sokong Cikgu Azizan

'Cikgu Azizan, kami di belakang anda'

Pray for Cikgu Azizan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 4:58 PM