Roslan menunjukkan jalan yang akan ditutup sempena Program Kayuhan Solidariti PDRM 2017. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
Rudy Syareme Sheriffudin


POLIS Pulau Pinang memaklumkan beberapa jalan utama akan ditutup sempena Program Kayuhan Basikal Solidariti PDRM 2017 di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, malam esok.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Roslan Ali berkata, program kayuhan dari 11 malam hingga 4 pagi itu akan bermula di pekarangan Queensbay Mall di Bayan Baru.

Beliau berkata, dianggarkan 3,000 peserta mengambil bahagian terdiri daripada komuniti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang ramai apabila mereka mula berkayuh di depan pusat beli-belah itu dan menamatkan kayuhan di tempat sama.

"Beberapa jalan akan ditutup termasuk Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di kedua-dua arah manakala beberapa jalan utama lain akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat mulai 10.30 malam dan dijangka dibuka semula pada 4 pagi.

"Bagi daerah Timur Laut, dua jalan dan persimpangan akan ditutup sepenuhnya iaitu dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Persiaran Bayan Indah dan kenderaan dari pusat bandar yang ingin ke Persiaran Bayan Indah dilencongkan ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Bulatan Bayan Baru/Jalan Sultan Azlan Shah.

"Bagi daerah Barat Daya pula, enam jalan dan persimpangan akan ditutup antaranya Bulatan Bayan Baru menghala ke Queensbay Mall/Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu," katanya.

Roslan berkata, bagi pengguna dari arah Batu Maung akan dilencongkan ke Medan Bayan Lepas masuk ke Hilir Sungai Keluang, Lebuhraya Kampung Jawa sebelum keluar balik ke Bulatan Bayan Baru/Jalan Sultan Azlan Shah ke pusat bandar.

Beliau berkata, pengguna dari persimpangan lampu isyarat Hilir Sungai Kluang menghala ke Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah akan dilencongkan ke persimpangan Lebuhraya Kampung Jawa berhampiran kilang Fasa II Agilent.

"Bagi pengguna arah dari persimpangan lampu isyarat kastam di Jalan Kampung Jawa akan dilencongkan ke Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah termasuk Persiaran Bayan Indah menghala ke Bulatan Gold Coast/Bulatan Tengah akan dipisahkan dengan pagar.

"Manakala pengguna dari arah Seberang Perai Selatan pula, dua laluan dan persimpangan akan ditutup termasuk susur masuk dari Lebuhraya Utara Selatan ke Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah/Batu Maung.

"Susur masuk dan keluar Jalan Bandar Cassia akan dilencongkan terus sebelum menuju ke Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah/Batu Maung dan sepanjang penutupan jalan dijangka berlaku sedikit kesesakan lalu lintas," katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta dan dinasihati mematuhi arahan diberikan petugas trafik ditempatkan sepanjang laluan ditetapkan termasuk di laluan alternatif bagi mengelak kesesakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 7:53 PM