KAKITANGAN Jabatan Hidupan Liar Sabah merawat Iman, badak sumbu Sumatra betina selepas haiwan itu dapat dikeluarkan dari kubangnya di Tabin, Lahad Datu. FOTO Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
BERNAMA

KEADAAN kesihatan badak sumbu betina terakhir hidup di Malaysia masih tidak berubah sejak mengalami pendarahan akibat tumor dalam rahimnya dipercayai telah pecah pada 14 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, badak sumbu Sumatera itu yang diberi nama Iman diberi 15 liter cecair semalam dan 10 liter lagi hari ini serta makanan tambahan sementara antibiotik, ubat penghilang kesakitan, vitamin K dan pelindung gastrik diberi secara intravena.

“Iman membuang air besar dua kali hari ini dan membuang air kecil tetapi dia hanya memakan tiga batang daun dan minum sedikit air.

“Dia tidak mahu memakan buah-buahan seperti pisang, betik dan mangga,” kata beliau dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Tuuga berkata, badak sumbu itu masih mengalami pendarahan dalam rahimnya apabila sebahagian darah beku didapati mengalir keluar dari tubuhnya.

Walaupun begitu, beliau berkata Iman masih aktif bergerak dalam kandangnya pada waktu malam.

“Doktor veterinar yang menjaga badak sumbu itu di Rizab Hidupan Liar di Lahad Datu akan mula memberi ubat dikenali sebagai Diazepam untuk merangsang nafsu makannya,” katanya.

Iman dikesan menghidap tumor leiomyoma di rahim apabila dia mula mengalami pendarahan.

Iman ialah seekor daripada dua badak sumbu betina di negara ini selepas kematian Puntung akibat kanser kira-kira enam bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 8:31 PM