ANAK tunggal Faizah Razali, 47, Firyal Syaakirah Ahmad [email protected] Shah, 12, membantu menguruskan ibunya yang tidak lagi mampu menguruskan diri sendiri akibat kencing manis. FOTO Noor Azurin Mohd Sharif
Noor Azurin Mohd Sharif


BEKAS penyunting majalah kanak-kanak tempatan terlantar sejak sebulan lalu akibat masalah kencing manis dihidapinya semakin serius menyebabkan dia kini terpaksa mengharapkan ihsan adik-beradiknya untuk meneruskan hidup.

Faizah Razali, 47, yang juga ibu tunggal disahkan menghidap kencing manis pada usia 24 tahun, bagaimanapun tahap kesihatannya semakin merosot sejak 2013 hingga menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong selepas dijangkiti kuman.

Adiknya Fairuzah Razali, 42, berkata, memandangkan Faizah hanya ditemani anak perempuannya Firyal Syaakirah Ahmad [email protected] Shah, 12, dia yang bekerja di Johor Bahru, mengambil keputusan pulang ke Melaka semata-mata mahu menjaga kakaknya.

"Selepas 23 tahun menghidap kencing manis, keadaan kakak semakin serius. Sekarang badannya lemah dan terpaksa mengharapkan bantuan orang lain untuk bergerak. Saya jaga dia sepenuh masa kerana adik-beradik lain tinggal jauh serta ada komitmen lain.

"Tetapi tidak bermaksud adik-beradik lain sudah melupakan kakak. Setiap hujung minggu kami berkumpul adik-beradik untuk berbincang mengenai kesihatan kakak, malah kami sepakat tubuhkan tabung keluarga untuk tampung kos rawatan dan beli keperluannya.

"Demi kakak, saya berhenti kerja dan pulang ke Melaka bersama anak. Nak harapkan anak saudara, dia masih muda. Risau dia tidak mampu pikul tanggungjawab ini," katanya ketika ditemui di rumah pusaka keluarganya di Taman Hang Tuah, Melaka Tengah, hari ini.

Katanya, selain mengharapkan tabung keluarga, Faizah turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak RM1,000.

"Wang bantuan dan sumbangan adik-beradik hanya cukup-cukup untuk beli keperluan seperti lampin pakai buang, ubat dan kos berulang-alik ke hospital. Tambahan pula sejak kebelakangan ini, kakak perlu kerap ke hospital untuk rawatan susulan.

"Selama ini kami tidak pernah minta bantuan orang lain, semuanya hasil kesepakatan adik-beradik yang sanggup keluarkan duit. Cuma harap sangat kalau ada pihak sudi sumbangkan katil khas memandangkan sekarang kakak semakin lemah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 10:07 PM