Gambar fail koleksi telekung Siti Khadijah di Butik Siti Khadijah Bangi Sentral, Bangi. FOTO arkib NSTP
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Ariani Textiles & Manufacturing (M) Sdn Bhd melanggar hak cipta reka bentuk Telekung Siti Khadijah Klasik milik Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd.

Pesuruhjaya Kehakiman Wong Kian Kheong membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa Telekung Siti Khadijah Klasik memenuhi semua keperluan di bawah Seksyen 7 Akta Hakcipta 1987.

Mahkamah mendapati terdapat sekurang kurangnya tujuh persamaan objektif antara Telekung Ariani x WOW Nur Aleesya dengan Telekung Klasik Siti Khadijah.

Bagaimanapun ganti rugi dengan kos yang diperoleh Siti Khadijah akan ditetapkan kemudian.

Mahkamah menetapkan 14 Mac depan untuk mendengar hujah kedua-dua pihak bagi menentukan jumlah ganti rugi dan kos yang perlu dibayar oleh Ariani kepada Siti Khadijah.

Sementara itu, peguam Ahmad Hafiz Zubir yang mewakili Siti Khadijah ketika dihubungi berkata, mahkamah memutuskan terdapat usaha mencukupi oleh pihak anak guamnya ketika penghasilan dan pembuatan telekung Siti Khadijah Klasik serta membuatkan ia adalah rekaan asli.

Perbicaraan bermula 28 September lalu selepas mahkamah menolak permohonan Ariani membatalkan saman itu.

Ariani diwakili peguam Habizan Habeeb Rahman, Foong Cheng Leong dan Thevini Nayagam.

Pada 15 Jun lalu, Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd memfailkan saman terhadap Ariani Textiles & Manufacturing (M) Sdn Bhd berhubung isu hak cipta membabitkan reka bentuk telekung melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates.

Pada 31 Oktober 2016, plaintif mendakwa ada produk telekung yang sama miliknya dijual melalui nama Ariani x WOW Telekung Nur Aleesya.

Plaintif mendakwa ada persamaan ketara di mana reka bentuk dan corak di bahagian kepala telekung, ukuran pada saiz muka dan dagu telekung, kedudukan tali telekung dan material pada bahagian dagu dan renda pelapik getah.

Mereka mendakwa defendan menjual dan mengiklankan tudung itu di program iklan televisyen CJ Wow Shop.

Plaintif mendakwa iklan itu menggunakan strategi produk sama dengan telekung Siti Khadijah.

Plaintif mendakwa tindakan defendan yang menjual, mengiklan dan mengedarkan telekung itu melanggar hak cipta mereka kerana meniru dan menciplak reka bentuk tudung mereka.

Oleh itu plaintif memohon perintah deklarasi defendan melanggar hak cipta milik plaintif terhadap reka bentuk Telekung Siti Khadijah Klasik mengikut Seksyen 36 Akta Hak Cipta 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 7:58 PM