SUHAIMI (depan, lima dari kiri) bersama usahawan yang menerima sijil pentauliahan, kelmarin.
Ayusliza Azizan
hmetroshahalam@hmetro.com.my


Shah Alam: Biarpun perniagaan diusahakannya pernah kerugian dan memerlukan tambahan modal, ia tidak mematahkan semangat seorang usahawan muda yang kini mencapai jualan antara RM15,000 hingga RM30,000 sebulan sebagai pembekal alatan jahitan dan bantal kekabu.

Mohd Zulhikmi Zolkifli, 28, seorang daripada 28 usahawan yang mengikuti program Graduate Realizing Opportunities Way Forward (GROW) dan menerima pentauliahan selepas menamatkan modul keusahawanan enam bulan.

Mohd Zulhikmi yang memiliki Ijazah Perakaunan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, dia mula menceburi bidang perniagaan berkenaan selepas bekerja di lapan syarikat swasta sebagai akauntan.

“Pada awalnya saya hanya menjalankan perniagaan dalam talian sebelum memiliki sebuah kedai di Klang bagi membantu penduduk sekitar membeli alatan jahitan pada harga murah.

“Hasil jualan sejak 2015 itu bagaimanapun tidak dapat menampung perbelanjaan sebelum ia berubah selepas menyertai GROW hingga mendapat 50 peratus margin keuntungan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pentauliahan dan Graduasi Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 2017, di sini, kelmarin.

Majlis itu disempurnakan Pengurus Besar Pembangunan Strategik PKNS Suhaimi Kasdon.

Kata Mohd Zulhikmi, dia menyasarkan mencapai jualan mencecah RM100,000 sebulan dalam tempoh terdekat selepas menerima bimbingan dan strategi menguruskan perniagaan yang betul tanpa perlu mengeluarkan modal tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 4:43 AM