MANGSA (kanan) cedera di dagu selepas motosila merempuh beruang. FOTO ihsan pembaca
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


BERUANG mati dirempuh motosikal di Kilometer 347.5 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat susur keluar Kuala Dungun, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian 6.50 petang itu, penunggang motosikal terbabit, Ahmad Hafizzudin Zulkipli, 29, hanya cedera.

Difahamkan ketika kejadian,Ahmad Hafizuddin dalam perjalanan dari Kuantan Ke Kuala Terengganu.

Setiba di tempat kejadian, secara tiba-tiba beruang melintas di depannya dan mangsa gagal mengelak sebelum merempuh haiwan liar itu.

Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan namun hanya cedera di dagu.

Mangsa kemudiannya dihantar orang ramai ke Hospital Dungun untuk rawatan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Anggota Peronda Lebuh Raya (LPT2) yang tiba di tempat kejadian segera menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Kakitangan PERHILITAN yang tiba tidak lama selepas itu kemudian membawa bangkai beruang berkenaan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 10:24 AM