BAS yang diparkir di bahu jalan dirempuh kereta.
Nur Saliawati Salberi

my

Alor Gajah: Seorang pemuda maut selepas Proton Wira dipandunya merempuh belakang sebuah bas diparkir di bahu jalan di Kampung Padang Kamunting, Masjid Tanah di sini, jam 6.45 pagi, semalam.

Akibat tempuhan itu, mangsa Mohd Ridzuan Jantan, 27, tersepit di tempat duduk pemandu menyebabkan polis meminta bantuan bomba bagi membantu mengeluarkan mayatnya.

Difahamkan sepasukan anggota bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang ketika itu sudah meninggal dunia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, ketika kejadian mangsa memandu seorang diri dari Pengkalan Balak menghala ke Kampung Padang Kamunting.

“Hasil siasatan awal, kami percaya kemalangan berlaku selepas mangsa gagal mengawal Proton Wira dipandu lalu terbabas ke kanan jalan dan merempuh belakang bas terbabit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dan mayatnya kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk mengenal pasti punca sebenar kematiannya,” katanya.

Mohd Sham berkata, saksi kejadian diminta tampil bagi membantu pihaknya melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 5:12 AM