Gempa bumi tidak mendatangkan ancaman tsunami.
Nurul Hidayah Bahaudin
am@hmetro.com.my

GEMPA bumi sederhana bermagnitud 5.3 pada skala Richter melanda Semenanjung Minahassa, Sulawesi, Indonesia, pada 3.12 petang (waktu tempatan), hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, gempa itu berpusat pada 205 kilometer timur laut Palu, Indonesia dan 521 kilometer tenggara Semporna, Sabah.

Gempa bumi berkenaan bagaimanapun tidak menimbulkan ancaman tsunami, kata kenyataan itu.

Kejadian gempa bumi itu adalah kali kedua dalam tempoh 11 hari selepas wilayah Semenanjung Minahasa, Sulawesi Utara digoncang gempa bumi dengan kekuatan 5.1 skala Richter pada pagi 16 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 6:03 PM